twitter
rss

Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth , Johor Bahru ialah sebuah sekolah berasrama penuh bagi kanak- kanak cacat penglihatan dari seluruh Malaysia kecuali daripada negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Sekolah ini telah dibina di atas Bukit Nong Chik. Kedudukannya terletak membelakangi Selat Tebrau yang memisahkan Malaysia dengan Singapura. Luas kawasannya ialah 7 ekar.
Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1948 dengan menumpang di Rumah Kebajikan Masyarakat di Batu 3, Jalan Skudai Johor Bahru. Bangunan yang ada sekarang telah mula dibina pada 23 Februari 1953 dan siap dalam tahun 1954. Mereka telah berpindah daripada Rumah Kebajikan Masyarakat ke bangunan yang ada sekarang pada bulan Oktober 1954.
Pembinaan sekolah ini bermula di atas cadangan Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Edward Gent yang mana baki hadiah perkahwinan HRH Princess Elizabeth diperuntukkan bagi pembinaan sekolah bagi kanak-kanak cacat penglihatan dari semua kaum dan agama.


Sejarah perkembangan dan tertubuhnya sekolah ini adalah dari kerjasama semua pihak. Tapak kawasan sekolah ini telah didermakan oleh Kerajaan Negeri Johor. Wang pembinaan adalah diperolehi dari baki hadiah perkahwinan HRH Princess Elizabeth sebanyak RM 39,000.00 daripada Central Welfare Council sebanyak RM 23,000.00 dan Welfare Lotteries Board sebanyak RM 321,000.00.
Dalam tahun 1948, Cik Enid Fernandes, iaitu Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Johor yang pertama telah menempatkan 3 orang kanak- kanak buta di Rumah Kebajikan Masyarakat, Batu 3, Jalan Skudai untuk diberi perlindungan dan pendidikan. Dalam bulan Oktober, pada tahun yang sama juga barulah tertubuhnya sebuah kelas di mana seramai 5 orang kanak-kanak cacat penglihatan telah ditempatkan dan Cik Ann Majeed adalah guru mereka yang pertama. Apabila bilangan murid bertambah, 3 orang guru lagi telah ditempatkan iaitu Cik Fatimah bt. Dato’ Ismail, YM. Sh. Kamaliah bt Dato’ Sy A. Kadir dan Cik Rahmah bt. Abdullah.

Pada 23 Februari 1953, YAM Engku Tun Aminah D.K Paduka iaitu isteri YAM Tunku Raja Johor telah meletakkan batu asas bagi membina sekolah yang ada sekarang. Atas usaha semua pihak bangunan sekolah ini telah siap dan mula diduduki pada bulan Oktober 1954. Sekolah ini telah dinamakan
Sekolah Princess Elizabeth bagi kanak- kanak Buta , Johor Bahru dan diperkenankan oleh HRH Princess Elizabeth. Pada masa ini sekolah ini menempatkan seramai 150 orang murid lelaki dan perempuan dari seluruh Malaysia.
Sebelum sekolah ini diambil alih sepenuhnya oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pada Julai 1986. Persatuan Orang Buta SeMalaya telah mengambil alih tugas mengendalikan sekolah ini dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan pihak Kementerian Pelajaran ketika itu memberi bantuan 90% gaji guru dan kakitangan bukan guru serta bantuan RM200.00 seorang murid setahun.

Pada 1 Januari 1977, Kementerian Pelajaran memberi bantuan penuh 100% gaji guru dan kakitangan bukan guru serta bantuan RM430.00 seorang murid setahun. Walaupun mendapat bantuan kerajaan pihak Persatuan Orang-Orang Buta SeMalaya ketika itu terpaksa juga menampung sebahagian dari perbelanjaan untuk mengendalikan sekolah ini.
Mulai 1 Julai 1986, Sekolah Princess Elizabeth telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang mana bantuan sepenuhnya telah diberikan termasuk gaji guru dan kakitangan bukan guru begitu juga bantuan lain sama seperti sekolah berasrama yang lain. Walaupun sekolah ini mendapat bantuan makan 100% dari pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan ini diberikan kepada semua Asrama Sekolah Pendidikan Khas.
Pada masa ini sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru dan sekolah ini mengikuti sukatan pelajaran yang sama seperti sekolah biasa, walaupun terdapat beberapa perkara diubahsuai. Gerak kerja luar juga diadakan seperti Pengakap, Tunas Puteri, Kelab Rabun , Kelab Orientasi & Mobiliti dan sebagainya.
Murid-murid diterima masuk ke sekolah ini apabila mencapai umur enam tahun dan akan berada di sekolah ini dari kelas prasekolah sehinggalah tahun enam. Setelah tamat mereka akan meneruskan pelajarannya ke peringkat menengah rendah dan menengah atas sama seperti sekolah biasa. Bagi murid- murid sekolah ini mereka akan ditempatkan belajar sama ada di Sekolah Menengah Khas Setapak, Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Vokasional Indahpura, Kulai ,Johor ataupun Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bagi meneruskan pelajaran di tingkatan satu.

Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menempatkan guru – guru terlatih dalam pendidikan khas di sekolah ini. Bagi pengambilan kakitangan bukan guru pula adalah diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Semua guru terlatih dan kakitangan bukan guru yang ditempatkan di SKPK Princess Elizabeth ini adalah kakitangan kerajaan.
Sekolah ini mempunyai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG ). Ia telah ditubuhkan pada tahun 2007 dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada Ibu Bapa dan guru.
Sekolah ini juga telah menubuhkan Skim Anak Angkat. Skim ini ialah di mana seorang murid akan dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga angkat sahaja. Tujuan skim ini ialah bagi menampung perbelanjaan harian murid dan memberi peluang kepada ibu bapa angkat beramah mesra dengan anak angkatnya

0 comments: