twitter
rss

Helen sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.
DI sebuah pekan kecil di selatan Tuscumbia, Alabama, salah satu 'keajaiban dunia' telah berlaku di sana. Ia bermula pada satu hari yang cerah dalam musim bunga pada tahun 1887.
Gumpalan awan putih indah menghiasi langit yang kebiruan dan kelihatan burung-burung berterbangan sambil hinggap di pokok-pokok oak dan mapel.
Bunga-bunga pelbagai warna pula berguguran ke tanah sekali gus menghiasi kawasan sekitarnya. Namun kesemua itu tidak dapat dilihat dan didengari oleh seorang gadis manis yang berusia tujuh tahun.
Berdiri di sebelah gadis bernama Helen Adams Keller yang buta dan pekak sepenuhnya itu, adalah seorang wanita muda, Anne Mansfield Sullivan.
Sullivan kemudian mengambil air sejuk dan diletakkan ke dalam salah satu tangan gadis tersebut sambil berulang-ulang menyebut kod abjad mengandungi lima huruf secara perlahan-lahan.
Keadaan itu berterusan di mana Helen dengan cermat dan teliti berusaha untuk memecahkan dunianya yang penuh kesunyian.
Tiba-tiba, satu isyarat melintas di dalam kepala Helen yang menyedari bahawa ia membawa satu makna. Dia kemudian mengetahui bahawa ejaan 'w-a-t-e-r' yang disebut oleh Sullivan ialah sesuatu yang sejuk yang mengalir di tangannya.
'Kegelapan' mula cair di fikirannya seperti ais pada bulan Mac yang penuh cerah itu. Menjelang senja, Helen telah pun mempelajari 30 perkataan.
Sejak itu bermulalah dunia baru Helen yang mahu membuktikan keupayaan dirinya meskipun dia buta dan cacat.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Helen, dia merupakan seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang terkenal di Amerika Syarikat (AS). Helen juga adalah orang buta pertama yang berjaya menamatkan pengajian di kolej.Dia sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita buta dan pekak yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.
Helen kemudian telah mendedikasikan seluruh kehidupannya untuk memperbaiki keadaan orang buta dan pekak di seluruh dunia dengan menyampaikan syarahan berbentuk motivasi.
Di mana sahaja dia muncul, Helen berjaya membawa keberanian dan semangat baru kepada jutaan orang buta di seluruh dunia.
Gurunya, Sullivan pula dikenang sebagai Miracle Worker kerana semangatnya dan usahanya.
Menyelusuri lembaran kehidupan wanita ikonik ini, Helen dilahirkan sebagai seorang kanak-kanak yang comel dan sihat pada tanggal 27 Jun 1880 di sebuah pekan kecil di Tuscumbia, Alabama.
Helen merupakan anak kepada Kapten Arthur H. Keller, bekas pegawai Confederate Army dan pasangannya, Kate Adams Keller, sepupu kepada Robert E. Lee dan anak perempuan Charles W. Adams, bekas jeneral Confederate.
Bagaimanapun, derita Helen bermula ketika dia berusia 19 bulan selepas diserang pelbagai penyakit sehingga menyebabkan bayi comel tersebut buta dan pekak sepenuhnya.
Pada usia enam tahun, Helen dibawa berjumpa Dr. Alexander Graham Bell oleh kedua ibu bapanya. Disebabkan lawatan itu, Helen kemudian bertemu dengan Sullivan pada 3 Mac 1887.
Sullivan sejak itu mula mendampingi Helen setelah menyedari gadis kecil tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri.
Bertindak sebagai guru kepada Helen, Sullivan ternyata berjaya dalam tugasannya.
Menjelang bulan Ogos, iaitu dalam masa enam bulan, Helen telah dapat mempelajari dan mengetahui 625 perkataan.


0 comments: