twitter
rss

Akses kepada Komputer
Menghurai kepentingan kemahiran komputer kepada IMP
Menjelaskan hardware & software yg digunakan oleh IMP
Mengenalpasti peralatan teknologi maklumat yang boleh digunakan oleh IMP

PengenalanMemudahkan komunikasi
Menghasilkan komunikasi melalui akses kepada teknologi
Kepentingan kemahiran komputer- - meningkat sejak 1980an- komputer pertama di Maryland USA – 1970an. Diubahsuai untuk mengeluarkan sebutan bagikegunaan IMP- Apple – 1980an – menggunakan menambah gajet untuk kegunaan IMP

Akses kepada teknologi komputerKomunikasi dengan orang celik
Kerjaya
Nilai Kendiri

Akses kepada Teknologi Komputer -faktorBahan bantuan lengkap dengan arahan yang memudahkan akses
Perisian secara berperingkat-ikut kemampuan, mudah difahami oleh IMP
Perisian boleh diulang – enrichment/ remedial act
Tutoring – akses kendiri
Komunikasi dengan orang celik
Komunikasi antara perseorangan (interpersonal) bersemuka, serentak dan sehala
Komunikasi dalaman (intrapersonal) monolog/komunikasi dengan diri dalam membuat keputusan
Komunikasi kumpulan iaitu interaksi antara 3/>
Komunikasi organisasi – jaringan kerjasama yg melibatkan struktur, fungsi, hubungan dan budaya organisasi
Komunikasi massa iaitu komunikasi umum/sehala menggunakan perantaraan
Kerjaya
Jab Pembangunan Kemahiran – kemudahan kepada IMP- maklumat di laman web dengan kemudahan bersuara
Kerjaya menentukan corak kehidupan – lebih baik
MAB- membangunkan IT untuk IMP-latihan dan asas pekerjaan. 1992 kerjsm dengan IBM
MAB – Information Technology Centre of MAB (1998), 2007 – penubuhan cyber club

E-dagang melalui kerjasama Vision-e (MAB) bersama Acmamall.com sbd bhd 2007 – memasarkan hasil kerja dan produk, perkhidmatan
Pasaran lebih luas
Nilai kendiri
Memberi keyakinan dan motivasi
Memudahkan pembelajaran terutama di sekolah/ institusi pengajian tinggi

Alat-alat Khas KomputerPerisian bersuara
  • Perisian untuk low vision
  • Perisian bersuara
  • JAWS
  • DAISY
  • Synthetic speech
  • Optical character recognition (OCR)
  • OpenBook

Helen sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.
DI sebuah pekan kecil di selatan Tuscumbia, Alabama, salah satu 'keajaiban dunia' telah berlaku di sana. Ia bermula pada satu hari yang cerah dalam musim bunga pada tahun 1887.
Gumpalan awan putih indah menghiasi langit yang kebiruan dan kelihatan burung-burung berterbangan sambil hinggap di pokok-pokok oak dan mapel.
Bunga-bunga pelbagai warna pula berguguran ke tanah sekali gus menghiasi kawasan sekitarnya. Namun kesemua itu tidak dapat dilihat dan didengari oleh seorang gadis manis yang berusia tujuh tahun.
Berdiri di sebelah gadis bernama Helen Adams Keller yang buta dan pekak sepenuhnya itu, adalah seorang wanita muda, Anne Mansfield Sullivan.
Sullivan kemudian mengambil air sejuk dan diletakkan ke dalam salah satu tangan gadis tersebut sambil berulang-ulang menyebut kod abjad mengandungi lima huruf secara perlahan-lahan.
Keadaan itu berterusan di mana Helen dengan cermat dan teliti berusaha untuk memecahkan dunianya yang penuh kesunyian.
Tiba-tiba, satu isyarat melintas di dalam kepala Helen yang menyedari bahawa ia membawa satu makna. Dia kemudian mengetahui bahawa ejaan 'w-a-t-e-r' yang disebut oleh Sullivan ialah sesuatu yang sejuk yang mengalir di tangannya.
'Kegelapan' mula cair di fikirannya seperti ais pada bulan Mac yang penuh cerah itu. Menjelang senja, Helen telah pun mempelajari 30 perkataan.
Sejak itu bermulalah dunia baru Helen yang mahu membuktikan keupayaan dirinya meskipun dia buta dan cacat.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Helen, dia merupakan seorang penulis, aktivis dan pensyarah yang terkenal di Amerika Syarikat (AS). Helen juga adalah orang buta pertama yang berjaya menamatkan pengajian di kolej.Dia sentiasa diingati dalam sejarah sebagai seorang wanita buta dan pekak yang luar biasa kerana mampu meraih kejayaan seperti manusia normal.
Helen kemudian telah mendedikasikan seluruh kehidupannya untuk memperbaiki keadaan orang buta dan pekak di seluruh dunia dengan menyampaikan syarahan berbentuk motivasi.
Di mana sahaja dia muncul, Helen berjaya membawa keberanian dan semangat baru kepada jutaan orang buta di seluruh dunia.
Gurunya, Sullivan pula dikenang sebagai Miracle Worker kerana semangatnya dan usahanya.
Menyelusuri lembaran kehidupan wanita ikonik ini, Helen dilahirkan sebagai seorang kanak-kanak yang comel dan sihat pada tanggal 27 Jun 1880 di sebuah pekan kecil di Tuscumbia, Alabama.
Helen merupakan anak kepada Kapten Arthur H. Keller, bekas pegawai Confederate Army dan pasangannya, Kate Adams Keller, sepupu kepada Robert E. Lee dan anak perempuan Charles W. Adams, bekas jeneral Confederate.
Bagaimanapun, derita Helen bermula ketika dia berusia 19 bulan selepas diserang pelbagai penyakit sehingga menyebabkan bayi comel tersebut buta dan pekak sepenuhnya.
Pada usia enam tahun, Helen dibawa berjumpa Dr. Alexander Graham Bell oleh kedua ibu bapanya. Disebabkan lawatan itu, Helen kemudian bertemu dengan Sullivan pada 3 Mac 1887.
Sullivan sejak itu mula mendampingi Helen setelah menyedari gadis kecil tersebut mempunyai keistimewaan tersendiri.
Bertindak sebagai guru kepada Helen, Sullivan ternyata berjaya dalam tugasannya.
Menjelang bulan Ogos, iaitu dalam masa enam bulan, Helen telah dapat mempelajari dan mengetahui 625 perkataan.


Assalamualaikum..terima kasih kerana sudi melayari laman blog saya ini. Pada kali ini, anda akan didedahkan dengan sistem tulisan yang digunakan di sekolah ini. Braille adalah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta. Sistem ini diciptakan oleh seorang Perancis yang bernama Louis Braille yang buta sejak kecil.
Braille terdiri dari sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut


kehadiran atau ketiadaan titik itu akan memberi kod untuk simbol tersebut. Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kode huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapat secara terus. Contohnya perkataan orang disingkat menjadi 'org'. Ini membolehkan buku Braille yang lebih nipis dicetak.

Huruf Braille juga telah diperkaya sehingga dapat digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik. Braille boleh dihasilkan menggunakan slate dan stylus di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan gambar cermin, menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler. Braille juga dapat dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.




Perkembangan Pendidikan Khas Masalah Penglihatan
1926       - Pembukaan St. Nicholas School oleh Gereja Anglican di Melaka
1931       - St. Nicholas School berpindah ke Pulau Pinang.
1948       - Pembukaan Princess Elizabeth School dengan kemudahan asrama oeh Jabatan
                  Kebajikan   Masyarakat di Johor Bahru
                - Pembukaan Institut Berasrama Pusat Latihan Gurney oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
1953       - Pembukaan Institut Taman Harapan, Pusat Pertanian Temerloh (JKM)
1958       - Pembukaan Institut Taman Cahaya, Pusat Pertanian Sandakan (JKM)
1962       - Rancangan percantuman bagi pendidikan kanak-kanak cacat penglihatan di sekolah
                 rendah dan menengah biasa yang dipilih diperkenalkan.
1977       - Permulaan Latihan Perguruan Khas dalam bidang cacat penglihatan di Maktab Perguruan
                 Ilmu Khas, Cheras.
1978       - Penubuhan Jawatankuasa Utama Pembentukan Kod Braille Bahasa Melayu untuk
                 mengembangkan Sistem Kod Braie Bahasa Melayu.
1983       - Pembukaan Sekolah Menengah Berasrama Cacat Penglihatan, Setapak.
                - Pengambilalihan  Princess Elizabeth School oleh Kementerian Pendidikan sebagai sekolah
                  bertaraf penuh dengan nama SKPK Princess Elizabeth.
1984       - Penubuhan Jawatankuasa Kod Braille al-Quran dan Bengkel Penulisannya bagi tujuan
                 mengembangkan Sistem Kod Braille al-Quran.
              - Penubuhan Unit Perintis penerbitan dan Percetakan Braille/Rabun, Kementerian
                Pendidikan untuk menyediakan bahan-bahan dalam Braille khususnya buku teks dan
                 penyelenggaraan alatan Braille

Sumber ; Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Khas (Zharulnizam Shah, 2010)

Pendahuluan
                Pengetahuan tentang perkembangan seseorang kanak-kanak adalah merupakan suatu perkara yang amat penting untuk didalami. Ini adalah kerana penelitian ke atas ciri-ciri perkembangan tersebut akan membawa kepada pembentukan kanak-kanak yang sempurna disamping pemerhatian dapat dibuat sejajar dengan tahap perkembangan yang normal. Perkembangan kanak-kanak adalah merangkumi beberapa aspek seperti kognitif, psikomotor, bahasa, persepsi, spatial, fizikal, sensori dan emosi. Kesemua perkara ini perlu diperhatikan agar penilaian yang dibuat dapat menggambarkan keadaan sebenar tentang kekuatan dan kelemahan seseorang agar permasalahan yang timbul dapat diatasi dengan rancangan yang sistematik, spesifik dan efektif.

Perkembangan Persepsi
                Perkembangan persepsi merupakan suatu proses mengumpul dan mengintegrasikan asas-asas pengalaman sensori secara berperingkat. Menurut teori Gibson, gabungan pengalaman perseptual yang lebih mantap melalui latihan-latihan yang spesifik dan berterusan akan menghasilkan sesuatu yang lebih mantap dan matang. Pengalaman menginterpretasikan sesuatu maklumat akan mempengaruhi pencapaian seseorang kanak-kanak bukan sahaja dari aspek persepsi tetapi juga kognitif (Kail, 2001).

Permasalahan Persepsi Di Kalangan Kanak-Kanak Cacat Penglihatan
                Perkembangan persepsi ada mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep ruang (spatial concept). Tidak semua kanak-kanak berpeluang untuk mendapat pengalaman dari penggunaan penglihatan. Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, masalah pembentukan persepsi yang lemah merupakan suatu perkara yang dominan. Permasalahan ini akan dialami dengan kadar yang berperingkat kerana ia bergantung kepada beberapa faktor seperti umur kanak-kanak itu mendapat kebutaan dan tahap kebutaan tersebut (Bjarne, 2000).
                Permasalahan yang sering timbul dari kelewatan perkembangan persepsi ini salah satunya adalah melibatkan proses mengenal. Bagi bayi yang baru dilahirkan, mereka dapat mengenal ibu mereka melalui deria bau dan bentuk badan ibu mereka dapat dikenali apabila daya penglihatan mereka bertambah baik (Kail, 1998). Bagi bayi yang dilahirkan dengan kecacatan penglihatan, limitasi mengenal ibu mereka hanya kepada bau sahaja. Oleh itu mereka perlu dilatih untuk mengggunakan deria-deria yang ada untuk mengenal orang di sekelilingnya serta persekitaran beliau. Bayi yang tidak dilatih mengenal akan mengalami masalah yang teruk dan intervensi diperlukan lebih awal iaitu sebelum berusia tiga tahun (Bjarne, 2000).
                Perkembangan persepsi saling berkaitan dengan keupayaan spatial. Bagi kanak-kanak rabun, masalah spatial atau ruang ini berkurangan jika dibandingkan dengan kanak-kanak buta. Walaupun begitu jika seseorang kanak-kanak itu mengalami kebutaan selepas menguasai peringkat praoperasi iaitu 2-7 tahun mengikut teori Piaget. Mereka akan kurang bermasalah dalam memahami konsep ruang tersebut. Hanya kepada masalah yang lebih abstrak yang memerlukan latihan yang intensif. Sebagai contoh ialah konsep warna yang amat sukar diterangkan kepada kanak-kanak cacat penglihatan konginental (Moore, 1997). Menurut Nielsen (1991) bagi kanak-kanak buta konginental, konsep ruang boleh dikatakan sifar kerana hanya dengan berbekalkan pengalaman dan latihan sahaja mereka akan dapat memahami konsep ruang ini.
Pelbagai ujian telah dijalankan untuk membuktikan bahawa kanak-kanak cacat penglihatan yang mengalami kecelaruan di dalam konsep ruang, diantaranya ialah ‘meta analysis’ dimana kanak-kanak buta dan rabun diletakkan di suatu kawasan dan diuji bagaimana mereka mengamati ruang di dalam kawasan tersebut. Hasil ujian menunjukkan bahawa kanak-kanak buta amat sukar untuk mengadaptasi sumber atau petunjuk (clue) yang ada. Mereka memerlukan latihan sebelum didedahkan kepada sesuatu situasi baru (Linn & Petersen, 1985).
                Kelemahan penguasaan dalam konsep spatial juga akan mempengaruhi daya kognitif seseorang kanak-kanak cacat penglihatan. Kanak-kanak ini sukar untuk membuat perkaitan diantara saiz dan jarak yang digunakan di dalam mata pelajaran matemati. Kebanyakan kanak-kanak ini sukar untuk memahami sesuatu konsep yang hendak dijelaskan. Konsep abstrak dalam ruang juga amat sukar untuk dijelaskan, contohnya konsep tiga dimensi yang memerlukan penelitian dan pemahaman yang tinggi.
                Penjelasan tentang persekitaran atau real-world environment merupakan sesuatu perkara yang penting. Contohnya dalam mengamati warna alam seperti warna laut, langit, awan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain. Walaupun begitu bagi kanak-kanak cacat penglihatan yang tiada pengalaman melihat, perkara ini dapat diperjelaskan dengan huraian yang sistematik dan dengan cara yang mudah difahami. Kebanyakan kanak-kanak cacat penglihatan hanya mengetahui atau memahami sesuatu perkara abstrak melalui sifat fizikal sesuatu itu seperti konsep panas dan sejuk yang dapat diketahui melalui pengalaman.
                Menurut Rosenkranz et al. (1976) simbol-simbol global melalui kombinasi persepsi struktur yang berlainan modality tidak berkembang bagi kanak-kanak yang mengalami kebutaan konginental dan ia memerlukan penelitian untuk memberikan penjelasan.
                Kanak-kanak cacat penglihatan memerlukan pendedahan kepada persekitaran bagi membentuk konsep perseptual. Walau bagaimanapun terdapat ramai di kalangan mereka yang takut dengan persekitaran (Schneeloth, 1989). Perasaan ini wujud adalah disebabkan kurangnya pendedahan fizikal terhadap persekitaran mereka. Perasaan takut adalah berbeza mengikut darjah penglihatan. Kajian menunjukkan kanak-kanak buta konginental mempunyai skor yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan kanak-kanak rabun.
                Kesukaran untuk memahami bentuk adalah perkara yang lumrah wujud di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan. Sebagai contoh apabila dikatakan bahawa piramid itu berbentuk kon dan bentuk kon adalah seperti bentuk segitiga, mereka sukar untuk menggambarkan bagaimana susunan segitiga itu boleh membentuk sebuah piramid. Ini adalah disebabkan kekurangan pengalaman dalam mengenal sesuatu struktur bentuk binaan. Konsep saiz juga memerlukan penjelasan yang terperinci. Jika kanak-kanak hanya diajar mengenal saiz dan ukuran seperti ukuran panjang dan pendek melalui pendekaran bahan sampel sahaja, konsep ini sangat sukar untuk diterima atau difahami. Sebagai contoh, saiz sebuah kapal terbang hanya diterangkan melalui model kapal terbang tanpa mereka merasai sendiri keadaan realitinya. Maka amat sukar konsep saiz itu diterima.
                Diskriminasi tentang rupa bentuk adalah suatu perkara yang menarik jika dapat dilihat. Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, konsep rupa bentuk memerlukan penjelasan yang lebih sistematik dan terarah. Suatu kajian telah dijalankan dengan menggunakan ‘Ohwaki-koh tactile intelligence test for the blind’ oleh Berry (1966). Dalam kajian itu ia memerlukan sampel agar mengikut prosedur mengenal tekstur yang berlainan. Beliau menggabungkan uian ini dengan ujian WAIS. Hasil dari ujian menunjukkan skor kanak-kanak cacat penglihatan konginental adalah lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak rabun yang mengikuti ujian yang sama dengan mata ditutup. Tetapi pada hakikatnya jika pengamatan dilakukan kanak-kanak cacat penglihatan konginental lebih sukar membuat perkaitan sesuatu tekstur itu dengan persekitarannya.
Dari segi pengamatan dan daya membuat anggaran berat sesuatu jisim. Jika kanak-kanak normal yang sudah melepasi peringkat operasi konkrit, mereka boleh membuat angatan berat sesuatu jisim atau objek dengan tepat berdasarkan pengamatan saiz dan melalui pengalaman mereka. Bagi kanak-kanak cacat penglihatan kekurangan pengalaman menyebabkan keupayaan membuat anggaran tepat tentang berat adalah sukar untuk dicapai. Mereka memerlukan pengalaman untuk merasai sendiri objek tertentu secara fizikal bagi membolehkan anggaran yang tepat dibuat.

Cadangan Aktiviti Untuk Mempertingkatkan Keupayaan Persepsi
                Keupayaan persepsi adalah berkaitan dengan penggunaan deria. Oleh yang demikian adalah tepat jika dikatakan bahawa penggunaan deria bagi kanak-kanak cacat penglihatan perlu dimaksimumkan untuk mendapatkan tahap perseptual yang terbaik (Kain, 2004).
                Kanak-kanak yang mengalami kebutaan konginental memerlukan pelbagai pendedahan dan latihan intensif. Diantaranya ialah peningkatan deria bau diperingkat bayi. Bayi perlu diberikan pendedahan tentang individu-individu penting seperti ibu, bapa dan adik-beradik. Tindakan ini akan memberikan kesan psikologi iaitu rasa selamat pada seseorang bayi. Menurut Vaughn et al. (2003) kesan psikologi yang baik kepada bayi yang berisiko tinggi seperti bayi buta akan dibawa hingga mereka mampu memahami persekitarannya.
                Jika diperhatikan kepada gaya dan perlakuan seseorang kanak-kanak cacat penglihatan, mereka sering menunjukkan tingkahlaku atau emosi takut. Perasaan takut ini akan lebih menonjol pada keadaan atau situasi yang baru dilaluinya. Mereka akan sukar untuk melakukan pergerakan jika tiada pemandu celik disampingnya. Ini adalah disebabkan mereka tidak menguasai konsep ruang. Latihan yang diperlukan ialah mengenal gema, orientasi dan mobiliti (Jacobson, 1993). Latihan mengenal gema adalah dengan melatih kanak-kanak mengenal balikan gelombang pantulan pada objek seperti dinding agar mereka mengetahui kedudukan mereka adalah berhampiran dengan sesuatu objek.
                Latihan orientasi dan mobiliti perlu diberikan dalam pelbagai situasi. Bentuk latihan yang diberikan adalah mengenal situasi, cuaca, bentuk laluan, menggunakan pengangkutan awam dan tindakan yang sewajarnya dilakukan jika berlaku kecemasan. Kemahiran mobiliti perlu disertakan dengan latihan menggunakan anggota badan seperti hadangan tangan, tongkat, dan pemandu celik. Keyakinan akan dapat dipupuk apabila kanak-kanak ini sudah dapat menggunakan kemahiran yang diajar. Walau bagaimanapun tahap latihan yang diberikan perlulah mengikut peringkat keupayaan dan umur kanak-kanak tersebut. Latihan ini perlu diberikan secara sistematik. Sebagai contoh, bentuk latihan bagi kanak-kanak lebih diberikan penekanan kepada latihan eksplorasi. Mereka perlu mengetahui apa yang dikatakan dengan bahaya seperti kedalaman sesuatu parit. Sentuhan fizikal adalah penting untuk mereka mengetahui keadaan fizikal sesuatu objek itu. Kepelbagaian bentik latihan dalam orientasi dan mobiliti akan mendatangkan kesan yang lebih positif di dalam diri mereka.
                Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, maklumat tentang jarak sering menjadi kekeliruan. Latihan perlu diberikan untuk mereka mengenal sesuatu jarak seperti apakah yang dikatakan dengan satu depa dan sepuluh meter. Kanak-kanak ini perlu diberikan pengalaman untuk membuat ukuran sendiri menggunakan tali pengukur untuk mendapatkan perbandingan jarak. Bagi kanak-kanak yang sudah mencapai tahap operasi formal (Piaget) mereka perlu diberikan pendedahan tentang jarak yang lebih besar misalnya perbandingan jarak dengan masa. Sebagai contoh untuk pergi ke tempat A jaraknya ialah lima kilometer dan masa yang diambil ialah lima minit dengan berbasikal, jarak B pula ialah 50 kilometer dan masa yang diambil dengan berbasikal ialah sejam empat puluh minit. Latihan ini perlu dipelbagaikan dengan penggunaan sumber yang berlainan bagi memantapkan lagi penguasaan tentang jarak dikalangan kanak-kanak ini. Selain itu interpretasi tentang gema juga mesti diajar untuk mengenal jarak di dalam bangunan. Kanak-kanak diajar menggunakan pantulan bunyi dengan menggunakan tepukan ttapak tangan. Pantulan gema yang dihasilkan akan membantu mereka mengenal jarak diri dengan sesuatu objek. Jika kuat gema yang dihasilkan maka menandakan mereka lebih dekat dengan sesuatu objek.
                Pengenalan kepada saiz memerlukan pelbagai elemen yang dapat menyokong sesuatu keadaan. Aktiviti untuk mengenal saiz boleh dilakukan dengan membuat persamaan dengan kehidupan harian. Sebagai contoh, adik memakai seluar saiz S, abang memakai seluar saiz X dan ayah memakai seluar saiz XL. Perbezaan ini boleh diterangkan kepada kanak-kanak cacat penglihatan untuk membolehkan mereka membuat perbandingan saiz. Kepelbagaian material yang digunakan akan dapat memantapkan lagi pemahaman tentang sesuatu saiz.
                Pendedahan kepada persekitaran atau real-world environment akan dapat meningkatkan pemahaman kanak-kanak cacat penglihatan tentang persepsi dan konsep spatial. Kanak-kanak ini perlu diberikan pendedahan bagi memperoleh pengukuhan secara semulajadi. Pendedahan tentang warna perlu dilakukan kepada kanak-kanak buta konginental agar mereka tidak membuat salah tafsiran atau anggapan (Moore, 1997). Sebagai contoh kanak-kanak diajar untuk mengenal kehidupan ksesuatu komuniti di persisiran pantai. Kanak-kanak boleh diajar tentang perbezaan bunyi ombak, angin, konsep pasang dan surut air selain mereka dapat meningkatkan kemahiran psikomotor dengan membezakan cengkerang dan daun serta membina istana pasir (Bishop, 1991).
                Setiap individu mempunyai rasa takut. Walaupun begitu rasa takut akan hilang apabila sesuatu perkara yang menakutkan itu diketahui atau dapat dilihat. Berbeza dengan kanak-kanak cacat penglihatan. Perasaan takut akan menyebabkan self esteem dan konfidensi mereka menurun. Individu yang terlibat dalam mendidikan kanak-kanak cacat penglihatan ini perlu membuat pelbagai aktiviti yang melibatkan murid secara langsung. Sebagai contoh bagi murid yang kurang pergerakan boleh dibawa ke gimnasium atau ke padang untuk merasai dan mendapat pengalaman tentang sesuatu pergerakan seperti mengangkat beban dan berlari. Selain itu guru juga boleh merujuk murid kepada professional seperti menjalani kaunseling untuk mengatasi sesuatu permasalahan dan meningkatkan kompitensi diri (Dettmer et al., 1999).
                Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, permasalahan perseptual akan melibatkan daya kognitif. Sukar bagi mereka untuk memahami proses melakukan penaakulan, konsep tiga dimensi, tekstur dan anggaran. Guru perlu kreatif dalam menjalankan sesuatu aktiviti sebagai contoh penggunaan objek maujud perlu diutamakan semasa pengajaran. Selain penggunaan rajah timbul untuk menambahkan kefahaman murid tentang sesuatu konsep. Murid perlu diberi peluang merasai sendiri sesuatu situasi agar kefahaman yang ada dapat diperkukuhkan. Seterusnya memantapkan lagi pemahaman perseptual mereka. Hanya latihan yang berulang kali dapat membantu kanak-kanak cacat penglihatan ini memahami sesuatu konsep itu selain bersandarkan kepada umur mereka.

Perkembangan Motor
                Perkembangan motor merupakan salah satu tahap yang terpenting dalam perkembangan seseorang kanak-kanak. Kegagalan atau kelewatan untukmencapai sesuatu tahap pada peringkat ini akan memberikan kesan kepada perkembangan yang lain. Menurut Piaget, pada tahap perkembangan motor, kanak-kanak seharusnya boleh menggunakan rangsangan untuk bertindak balas dan pendapat ini disokong oleh Kail (2002) yang menyatakan bahawa pergerakan motor kanak-kanak adalah suatu elemen yang menjadi asas kepada pergerakan-pergerakan lain selain dari dapat memotivasikan kanak-kanak untuk menggunakan lebih banyak bahagian badan mereka. Aspek lokomotor merupakan sebahagian daripada elemen yang memerlukan peneguhan di peringkat awal perkembangan seseorang kanak-kanak.

Permasalahan Perkembangan Motor Di Kalangan Kanak-Kanak Cacat Penglihatan
                Permasalah dalam perkembangan motor bagi kanak-kanak cacat penglihatan adalah suatu perkara yang sinonim. Ini adalah disebabkan oleh kekurangan dalam penglihatan akan memberikan kesan yang serius dalam perkembangan motor seseorang kanak-kanak (Mason & McCall, 1999). Kegagalan memulakan sesuatu pergerakan akan melewatkan perkembangannya. Oleh itu ia mungkin akan menyebabkan kecacatan berganda di mana pergerakan seseorang kanak-kanak itu terbatas ataupun kehihatan tidak menarik.
                Kecacatan penglihatan akan memberikan kesan kepada pergerakan dalam dua faktor utama iaitu kekurangan pada tahap penglihatan akan mengurangkan motivasi untuk melakukan pergerakan. Sebagai contoh bayi yang baru lahir dengan kebutaan sukar untuk melakukan beberapa pergerakan lokomotor seperti mengangkat kepala untuk mengagah. Ini tidak terjadi kepada bayi yang normal, mereka akan memberi tindak balas kepada sesuatu rangsangan kerana dibantu oleh penglihatan mereka. Apabila keadaan ini berlaku, motivasi bayi itu akan menurun. Contoh lain ialah, apabila kanak-kanak normal melihat sesuatu objek yang menarik perhatiannya, maka dia akan sedaya upaya akan mencapai objek tersebut. Kesannya ialah ia menghasilkan pergerakan yang membolehkan beberapa perkembangan motornya dipenuhi.
                Faktor kedua ialah, jika berlaku kekurangan dalam penglihatan, kanak-kanak akan berasa takut untuk bergerak. Mereka merasakan situasi untuk bergerak itu tidak selamat atau kedudukan mereka terhad jika mereka bergerak agak sukar untuk kembali ke tempat asal mereka. Perasaan ini akan dibawa hingga dewasa jika tidak diatasi seawal yang mungkin.
Pengetahuan tentang anggota badan dan kefungsiannya adalah perkara yang penting untuk diketahui kerana koordinasi ini amat penting untuk membentuk latihan dalam postur badan dan kemahiran mobility (Cratty & Samm, 1968). Kedudukan badan amat penting untuk diperbaiki kerana badan perlu dilatih untuk mendapatkan posture yang betul agar kecederaan dapat dikurangkan. Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, hubungan anggota badan dan kefungsiannya mesti diajar dengan sistematik kerana setiap anggota badan perlu diketahui fungsinya agar kekeliruan tidak berlaku. Sebagai contoh ialah penggunaan tangan kanan dan kiri.
                Bagi kanak-kanak yang dilahirkan mengalami kebutaan konginental, persekitaran akan menjadi kurang menarik jika mereka berada di dalam posisi duduk. Mereka juga merasakan lebih selesa untuk berbaring diatas lantai. Oleh yang demikian, usaha untuk mendapatkan imbangan sukar dilakukan. Ibu bapa perlu mengajar mereka kemahiran untuk mendapatkan imbangan badan selari dengan tumbesaran fizikal kanak-kanak ini.
                Dalam transisi untuk lebih aktif dengan persekitaran, kanak-kanak normal akan menunjukkan tingkahlaku seperti mengangguk kepada, mengibas-ngibas tangan dan bermain dengan jari mereka. Pergerakan ini jarang berlaku pada kanak-kanak cacat penglihatan kerana mereka tidak mendapat rangsangan dari persekitaran seperti melihat ibu bapa mereka berjalan. Oleh itu rangsangan untuk memulakan pergerakan yang lebih besar terbatas. Latihan intensif diperlukan untuk mengatasi masalah ini.
                Kanak-kanak yang dilahirkan dengan kebutaan konginental selalunya akan terlepas dari menjalankan aktiviti merangkak. Oleh itu mereka akan menghadapi masalah untuk berjalan kerana kekuatan otot tangan dan kaki tidak dapat diselarikan dengan otot badan selain masalah untuk melakukan imbangan. Tahap ini juga perlu untuk memberikan kesan kesedaran penerimaan sosial di kalangan mereka.
                Perasaan ingin tahu sememangnya ada di dalam semua bayi yang dilahirkan. Kebiasaannya apabila sudah boleh berjalan, kanak-kanak cacat penglihatan akan mempunyai naluri ingin meneroka persekitarannya. Oleh itu persekitaran yang selamat diperlukan untuk mereka menjalankan aktiviti motor yang bersesuaian seperti bermain, berjalan dan berlari. Pengujian stamina mereka juga perlu dijalankan untuk mengetahui kekuatan yang telah terbentuk dan sebagai satu alternatif kepada latihan tambahan untuk memperbaiki peringkat dalam perkembangan motor mereka.
Terdapat juga kanak-kanak cacat penglihatan yang menunjukkan kelainan gaya mereka berjalan. Ini adalah kerana kekurangan latihan dan peneguhan sukar dijalankan kerana gaya pembelajaran melalui peniruan sukar akibat penglihatan yang terhad. Sebagai contoh ada kanak-kanak yang berjalan menggunakan tumit, dan ada juga yang menggunakan hujung jari kaki untuk berpijak. Kegagalan mengatur postur kaki juga dilihat sebagai salah satu masalah motor yang ketara di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan ini.

Cadangan Aktiviti Untuk Mempertingkatkan Keupayaan Motor
                Terdapat beberapa cara untuk mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi dalam membentuk perkembangan motor kanak-kanak cacat penglihatan. Bagi mengatasi masalah motivasi rendah. Pada peringkat bayi lagi kanak-kanak ini harus diberikan galakan untuk mencuba dan setiap percubaan itu hendaklah diberi ganjaran samaada lisan atau ganjaran tangible. Sebagai contoh apabila kanak-kanak ini berjaya melakukan sesuatu pergerakan ibu bapa boleh memuji dengan memberikan dan menggalakkan mereka mengulangi semula pergerakan tersebut. Melalui cara ini pembentukan motivasi dan nilai esteem yang tinggi dapat dibentuk.
                Perasaan takut terhadap sesuatu pergerakan akan menyebabkan pergerakan seseorang kanak-kanak itu terbatas. Oleh itu guru dan ibu bapa perlu memberi rangsangan dan sering bersama-sama melakukan sesuatu pergerakan yang ingin diajar kepada kanak-kanak ini. Latihan yang berulangan diperlukan dengan menyertakan berbagai rangsangan seperti bunyi dan warna yang terang untuk kanak-kanak rabun. Sebagai contoh untuk pergi ke suatu jarak tertentu, rangsangan bunyi digunakan. Aktiviti yang boleh dibuat ialah mengajar kanak-kanak ini mengikut bola berloceng yang bergolek. Selain itu bagi peringkat prasekolah, kanak-kanak ini boleh menjalankan aktiviti pendidikan jasmani dengan rangsangan bola loceng untuk menarik perhatiannya. Kondisi ini akan memberikan keyakinan kepada mereka seterusnya mengelakkan rasa takut terhadap sesuatu pergerakan yang dianggap selamat.
                Kanak-kanak perlu diajar untuk menggunakan imbangan seperti duduk dengan postur yang betul. Kedudukan badan semasa duduk perlu diberikan penekanan kerana kebanyakan kanak-kanak tidak boleh duduk dengan betul akibat dari kekurangan peneguhan di peringkat awal perkembangannya (Studholme, 2000). Perkembangan motor kasar juga perlu diberikan rangsangan yang maksimum agar mereka dapat menggunakan keseluruhan anggota badan dan membuat perkaitan diantara satu kondisi dengan kondisi yang lain. Di dalam proses transisi, kanak-kanak perlu diberikan latihan untuk menggunakan tangan sebagai permainan. Tindakan mengangguk kepala dan mengibas tangan akan memberi nilai tambah kepada kekuatan otot dan juga rangsangan kepada pergerakan lain. Ibu bapa perlu mengajar mereka menggunakan jari untuk bermain sendirian.
                Aktiviti meniarap, merangkak dan bertatih merupakan aktiviti yang wajar dilakukan untuk melatih kanak-kanak ini bergerak. Koordinasi tangan dan kaki serta daya imbangan yang diperlukan untuk berjalan perlu diberikan latihan. Ulangan latihan amat perlu agar kekuatan otot mereka bertambah baik. Ibu bapa boleh menggunakan rangsangan fizikal seperti menunjukkan langkah-langkah yang perlu digunakan dalam aktiviti meniarap, merangkak dan bertatih. Ini adalah kerana kanak-kanak ini tidak boleh melakukan perniruan dari persekitarannya.
                Seringkali kita melihat kanak-kanak cacat penglihatan berjalan dalam kondisi yang tidak sesuai. Ibu bapa perlu mengajar mereka cara berjalan yang betul. Menurut (Mason & McCall, 1999) latihan yang sistematik diperlukan dalam latihan ini. Kanak-kanak perlu diajar untuk berdiri dan mendapatkan keseimbangan. Apabila tahap ini telah dicapai, maka latihan bertatih menggunakan pemegang diperlukan. Setelah kanak-kanak ini boleh menyusun langkah mereka dengan baik maka perlulah diajar berjalan tanpa menggunakan pemegang. Ibu bapa boleh membantu mereka mendapatkan keseimbangan sementara kemahiran berjalan bebas ini dicapai.
                Bagi kanak-kanak cacat penglihatan di peringkat prasekolah aktiviti motor halus boleh dijalankan seperti menggenggam, meramas, menekan, menggunting, mewarna, dan menyurih (tracing) boleh dilakukan kepada kanak-kanak cacat penglihatan. Mereka boleh diajar untuk menggunakan bola getah dan gunting untuk melakukan sesuatu aktiviti di samping menguatkan otot tangan mereka. Aktiviti yang sama seperti kanak-kanak normal boleh diajar hanya sedikit perubahan diperlukan untuk mendapatkan penyesuaian. Guru dan ibu bapa perlu kreatif dalam melakukan aktiviti ini di sekolah (Bishop, 1996).
                Apabila sesuatu tahap asas dalam pergerakan telah dikuasai, maka aktiviti gross motor boleh dicadangkan untuk dijalankan. Sebagai contoh ialah aktiviti pemadanan objek. Aktiviti circle games seperti jongkang jongkit, gelungsur, marry-go-round juga boleh dilakukan. Semua aktiviti ini memerlukan pengawasan untuk menjamin keselamatan mereka. Diingatkan agar ibu bapa tidak melakukan overprotected kepada kanak-kanak ini untuk membolehkan mereka berdikari dan berupaya menggunakan semua fungsi otot mereka.
                Aktiviti fizikal seperti berlari, melompat, mendaki, berguling, meregang dan berpusing juga membolehkan kanak-kanak ini mengembangkan kemahiran motor mereka selain dapat memberikan kepuasan dalam melakukan sesuatu aktiviti (Kain, 2004). Aktiviti fizikal ini memerlukan penglibatan ibu bapa dan guru agar sesuatu kemahiran dapat diterangkan secara terus kepada kanak-kanak. Daripada aktiviti fizikal yang dijalankan ia akan dapat membantu untuk seseorang kanak-kanak itu mempelajari teknik orientasi dan mobiliti selepas mereka berupaya menguasai asas-asas dalam pergerakan motor kasar.

Kesimpulan
                Perkembangan perseptual dan perkembangan motor merupakan suatu elemen yang penting untuk diberikan penekanan. Kelewatan dalam perkembangan ini akan menyebabkan sesuatu kemahiran itu lambat diperoleh dan kanak-kanak cacat penglihatan akan tertinggal berbanding kanak-kanak normal yang seusia dengannya. Walaupun begitu kedua-dua tahap ini akan mencapai stabiliti apabila mereka meningkat dewasa. Keupayaan persepsi dan motor akan menunjukkan kesamaan dengan individu normal jika pada usia kanak-kanak sudah diberikan peneguhan dan dibuat pembetulan yang sewajarnya. Intervensi yang diberikan seharusnya melibatkan pelbagai pihak yang terlibat secarea langsung dengan kanak-kanak cacat penglihatan ini. Oleh yang demikian latihan yang sewajarnya harus dirancang untuk membekalkan pengalaman kepada setiap kanak-kanak samaada buta konginental ataupun yang rabun.